Friday, December 17, 2010

Perutusan Pengetua

Pn. Hjh. Johara Bt. Dato' Hj. Nawawi
Pengetua SMKBS
Sekapur Sirih Seulas Pinang


   Sekalung tahniah kepada penghasilan Blog SMK Bukit Saujana.

   Kemajuan Sains dan Teknologi seharusnya diambil peluang oleh semua individu terutama pelajar dan guru untuk mempersiapkan diri menghadapi cabaran hidup. Dengan adanya Blog ini, adalah diharapkan semua warga SMKBS dapat berkomunikasi dengan cara yang lebih berkesan.

   Dengan teknologi yang serba canggih, pada hari ini berkomunikasi tiada sempadannya. Diharap pelajar-pelajar terutamanya, dapat menggunakan media ini secara positif dan memanfaatkannya secara optimum. Media ini boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat, menjalankan "Online Discussions" dan bertukar buah fikiran serta pandangan dikalangan para pelajar dan guru pada bila-bila masa dan ketika.

   Marilah kita sebagai warga SMKBS menggunakan sumber-sumber teknologi yang ada dalam kita mengharungi transformasi pendidikan pada masa kini. Walaubagaimanapun teknologi tidak akan dapat menggantikan guru. Panduan dan bimbingan guru-guru adalah yang paling utama dalam kita melalui transformasi ini. Tidak lupa dengan pandangan dan idea membina daripada masyarakat sekeliling.

   Harapan saya agar Blog SMKBS ini akan digunakan dengan sebaiknya. Selamat maju jaya dalam mengharungi segala bentuk cabaran untuk kita mencapai kecemerlangan.

DATANG BERSAMA-SAMA ADALAH PERMULAAN
TETAP BERSAMA ADALAH KEMAJUAN DAN
BEKERJA BERSAMA-SAMA ADALAH KEJAYAAN